Thursday, September 3, 2009

Wanita Sarawak Mangsa Ke-73 Maut Akibat A (H1N1)

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Seorang wanita berumur 25 tahun dari Betong, Sarawak merupakan mangsa ke-73 jangkitan influenza A(H1N1) yang meninggal dunia pada Selasa lepas kerana "severe pneumonia" dengan jangkitan H1N1.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata wanita itu tanpa mempunyai faktor risiko telah dimasukkan ke Hospital Betong pada Ahad lepas kerana demam, batuk dan sakit tekak selama lima hari, dan dirujuk ke Hospital Sibu pada Isnin untuk mendapat rawatan lanjut dan rawatan antiviral.

Sebelum itu, beliau telah mendapat tiga rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Betong, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dr Mohd Ismail berkata sementara jumlah pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) yang telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan adalah seramai 266 orang, manakala pada masa yang sama 293 kes telah didiscaj.

Ini menjadikan baki seramai 1,211 pesakit ILI sedang dirawat di 110 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara, dan daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 230 pesakit (18.9 peratus) disahkan positif H1N1, katanya.

Dr Mohd Ismail berkata daripada 230 kes yang disahkan H1N1, 41 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 31 kes (75.6 peratus) mempunyai faktor risiko, iaitu penyakit kronik (7), obesiti (10), kanak-kanak/bayi (8), post natal/hamil (2), penyakit jantung (1) dan asma (3).

Beliau berkata mereka yang mempunyai simptom seperti demam, batuk dan sakit tekak didapati masih mengunjungi tempat yang terdapat ramai orang, sama ada untuk membeli belah, hiburan dan keramaian.

"Mereka ini sepatutnya berehat di rumah dan sekiranya terpaksa juga keluar, mereka hendaklah memakai topeng muka bagi mencegah penularan jangkitan virus influenza ini," katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai lagi orang awam yang tidak faham cara virus ini merebak, iaitu berjangkit daripada manusia kepada manusia melalui titisan cecair yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin.

" Sekiranya kita memahami cara virus ini merebak, maka lebih mudah untuk kita mengambil langkah pencegahan," katanya .

-- BERNAMA

Tuesday, September 1, 2009

Kaji punca kematian pesakit H1N1

KADAR kematian pesakit H1N1 yang semakin meningkat di negara ini sememangnya membimbangkan semua pihak. Ini bertentangan dengan pandangan WHO dan pakar-pakar yang menjangkakan kadar kematian yang sepatutnya jauh lebih rendah. Kesan sebenarnya tidak lebih daripada seperti jangkitan selesema yang biasa (common flu) kecuali bagi pesakit-pesakit yang berisiko.

Persoalannya mengapakah perkara sedemikian terjadi? Pada pandangan saya ada beberapa faktor yang perlu kita kaji sebelum Kementerian Kesihatan terus mengumumkan kadar kematian disebabkan virus H1N1 yang semakin meningkat kerana ini akan menyebabkan masyarakat menjadi semakin cemas.

Apakah virus ini dari jenis yang mampu membunuh secara terus (direct cause of death) atau mungkinkah kematian yang dicatatkan selama ini secara kebetulan didapati positif di dalam badan mangsa. Dalam keadaan ini kemungkinan virus tersebut bukan punca kematian utama tetapi pesakit mati disebabkan punca-punca lain seperti serangan jantung, jangkitan kuman dalam darah dan lain-lain punca kematian yang lebih jelas.

Adalah tidak adil menganggap punca kematian seseorang pesakit disebabkan virus H1N1 walhal pesakit mempunyai pelbagai penyakit kronik yang lain yang mungkin penyebab utama kepada kematian beliau.

Dalam hal ini Kementerian Kesihatan perlu mengkaji dengan lebih teliti termasuk meminta pandangan daripada doktor-doktor pakar sebelum mengumumkan seseorang pesakit itu meninggal dunia disebabkan virus H1N1. Ini kerana kesan kepada keluarga, masyarakat dan negara amat mendalam.

Adalah amat malang apabila masyarakat menjadi cemas tanpa sebab dan tiada pengetahuan kerana tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai virus ini

DOKTOR PESAKIT

Klang

---------------

Utusan Online - 1/9/2009

Kematian pertama akibat selesema babi di Sweden

01/09/2009 5:06am


STOCKHOLM 1 Sept — Sebuah hospital di Sweden mengesahkan seorang lelaki yang berumur sekitar 30 tahun yang dijangkiti virus selesema babi adalah mangsa pertama mati akibat wabak berkenaan di negara Scandinavia itu.

Hospital Universiti Uppsala mengesahkan lelaki yang meninggal pada Jumaat lalu itu mati wabak tersebut. Lebih 700 orang telah didiagnosis dengan virus itu di Sweden, dan didapati 155 daripadanya adalah akibat jangkitan tempatan.

- AP

=================

Malaysia dah lebih 70 orang dah...