Sunday, August 16, 2009

Operasi hospital disusun semula

Oleh Abdul Razak Raaff, Rosli Abdul Jalil dan Irwan Shafrizan Ismail bminggu@bharian.com.my

Langkah tangani sesak, waktu menunggu akibat penularan H1N1:

TPMKUANTAN: Kementerian Kesihatan diarah menyusun semula operasi hospital di seluruh negara bagi menangani masalah kesesakan dan waktu menunggu yang lama berikutan pertambahan kehadiran pesakit akibat penularan wabak Influenza A (H1N1).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berikutan bilangan pesakit yang datang ke hospital serta klinik untuk mendapatkan rawatan meningkat sehingga menyebabkan berlaku kesesakan terutama di unit kecemasan dan pesakit luar.“

Saya sudah arahkan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) kerana di sesetengah hospital awam, orang ramai datang berpusu-pusu kerana demam, batuk sehinggakan menjadi satu keadaan yang sesak.“

Saya minta susun balik (operasi di unit kecemasan dan pesakit luar)...umpamanya kalau datang 100 orang, ada 20 orang yang tenat maka jururawat dan doktor boleh buat ujian dulu dan asingkan mereka serta diberi layanan utama supaya mereka tidak menunggu lama sehingga dua atau tiga jam.“

Malah, saya juga meminta kementerian mengambil tindakan supaya waktu menunggu bagi mendapatkan rawatan berkaitan H1N1 tidak terlalu lama yang boleh buatkan pesakit yang disyaki dijangkiti lebih tenat,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis mesyuarat perwakilan bersama Umno bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota, di sini semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.Mengenai cadangan supaya kerajaan mengumumkan kawasan atau lokasi panas yang banyak merekodkan kes H1N1, Muhyiddin berkata: “

Adalah sukar untuk berbuat demikian memandangkan wabak ini sudah merebak merentasi sempadan.

Saya sudah berbincang dengan Menteri Kesihatan (kelmarin), tetapi tidak ada mana-mana negara pun yang membuat pengumuman mengenai kawasan panas yang banyak kes H1N1.“

Ia kerana dalam soal penyakit dan virus, sukar untuk memaklumkan yang ini kawasan panas kerana berlaku kematian.

Kalau kita buat begitu nanti, orang yang tidak terbabit dan bukan kawasan panas pula akan ambil sikap mudah. “

Misalnya, jika ada kes H1N1 di Kuantan, kita tidak boleh kata jangan pergi ke Kuantan...ini pun bahaya juga. Apa yang penting ialah semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga terutama meningkatkan kebersihan diri dan mengelakkan perkara yang boleh mendedahkan diri kepada H1N1,”

katanya.Muhyiddin berkata, tahap pengabaian terhadap penjagaan diri di kalangan rakyat juga dilihat akan lebih tinggi jika hanya beberapa kawasan diklasifikasikan sebagai lokasi panas H1N1.

Media sebelum ini melaporkan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta Kementerian Kesihatan mengumumkan lokasi panas H1N1, terutama yang membabitkan kematian atau kadar jangkitan yang tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kes H1N1 menerusi media termasuk maklumat dan panduan pencegahan jangkitan H1N1 yang perlu diamalkan setiap individu.

Beliau juga berkata, kerajaan setakat ini sudah membelanjakan RM40 juta bagi menambah bekalan ubat antiviral, Tamiflu untuk dibekalkan kepada semua hospital kerajaan, swasta dan klinik.

No comments: